Refleksi Kendiri (Nurul Batrisyia)


Refleksi Kendiri
Nurul Batrisyia binti Ahmad Rizal (SIF170042)

Fasa Perancangan

          Kami telah mengadakan beberapa perjumpaan untuk membuat perancangan dan perbincangan mengenai projek kami ini. Beberapa lokasi berbeza yang telah dipilih untuk mengadakan perjumpaan tersebut, seperti di tasik varsiti, foyer di kolej kediaman kedua, serta di Auditorium Fizik. Setiap perjumpaan telah membuahkan hasil yang berbeza.
Antara perkara yang telah dibincangkan ialah jenis-jenis modul yang akan disediakan kepada para murid dan cara-cara untuk melakukannya, aktiviti-aktiviti untuk dimasukkan ke dalam tentatif program, lagu serta gerak tari untuk zumba dan lagu tema, dan pembahagian tugas kerja masing-masing.

Tetapi, kebanyakan mesyuarat yang dijalankan, pada pendapat saya, terlalu berfokuskan kepada tarian zumba dan lagu tema. Padahal terdapat banyak lagi perkara penting yang sepatutnya dibincangkan seperti tentatif program dan ‘test-run’ untuk modul. Seperkara lagi, kami telah diberitahu untuk hadir ke mesyuarat setiap Jumaat, jam 11.00 pagi, dan selalunya mesyuarat-mesyuarat tersebut sama ada dibatalkan atau dilewatkan. Hal tersebut amatlah menyusahkan kami semua kerana notis-notis mengenai mesyuarat selalu diberitahu lewat.

Sepatutnya biro saya hanyalah mengendalikan bahagian multimedia dan publisiti untuk program ini, namun kami telah diberitahu seminggu sebelum program bahawa kami mesti mengendalikan bahagian teknikal di SBPI Gombak, yang merangkumi daripada mikrofon hinggalah lagu-lagu untuk majlis penutup. Saya berasa amat kecewa kerana sepatutnya, hal-hal teknikal yang penting seperti mikrofon dan ‘mixer’ dikendalikan oleh murid-murid yang bertugas dari sekolah tersebut. Namun demikian, saya dapat mempelajari cara-cara untuk mengendalikan sistem teknikal secara asas.

Fasa Semasa

Projek kami telah dijalankan di Sekolah Berasrama Penuh Integrasi Gombak, Kuala Lumpur, selama dua hari dan dua malam. Kami tiba di SBPI Gombak pada hari Jumaat jam 8.00 malam hingga 10 malam. Sesi ‘ice-breaking’ atau pembahagian kumpulan telah dijalankan. Pada jam 11 malam, kami para fasilitator telah menjalankan raptai untuk majlis penutup di dewan. Para fasilitator bergerak dalam dua kumpulan iaitu dengan menaiki kereta serta barang-barang untuk projek kami, dan lagi satu kumpulan bertolak ke lokasi dengan menaiki lrt. Pergerakan ke loksai amatlah kalut kerana pada ketika itu sedang hujan lebat dan terdapat kesesakan lalu lintas yang amat teruk. Saya juga telah diberitahu pada malam itu juga, bahawa terdapat kesalahan dalam brosur untuk majlis penutup program ini dan harus diperbetulkan pada waktu itu juga. Padahal saya telah bertanya pengarah, timbalan pengarah, dan ketua protokol untuk melihat dan membetulkan kesalahan-kesalahan jika ada dalam brosur tersebut pada hari Khamis.

Pada hari Sabtu, program dimulakan dengan berzumba di dataran. PA system di dataran amatlah terhad. Kemudiannya diteruskan dengan sesi-sesi modul, iaitu flying cups dan ‘rubber band car’. Kemudiannya para murid dilepaskan untuk makan tengahari dan solat zohor. Aktiviti bersambung pada jam 2.00 petang dengan ‘Explorace’ hingga jam 5.00 petang. Seterusnya, pada jam 5.00 hingga 6.15 petang terdapat sesi latihan dalam kumpulan (LDK) untuk setiap kumpulan bersama fasilitator. Sesi LDK yang telah dijalankan adalah bebas untuk setiap kumpulan. Selepas itu semua murid telah dilepaskan untuk solat maghrib dan isya serta makan malam.

Pada malamnya,  kami telah menjalankan raptai penuh untuk majlis penutup dari 8.00 hingga 9.00 malam. Program diteruskan pada jam 9.00 bersama murid-murid dengan sesi ‘Movie Night’. Cerita yang telah dipilih untuk tayangan adalah ‘The Edge of Tomorrow’.
Kami mulakan aktviti pada esok hari dengan sesi berzumba di dewan. Seterusnya, sesi ‘egg toss’ dan water rocket dijalankan sehingga jam 12.00 tengah hari.

Kemudian pada jam 2.00 petang, sesi berbicara bersama Dr. Woo Hau Jiunn diteruskan, dan pada jam 3.00 hingga 4.00 petang, sesi ‘Toying with Physics’ dijalankan. Terdapat satu persoalan yang bermain di minda saya, kenapa setiap sesi modul diketuai oleh Seng, walaupun terdapat lagi orang lain sebagai pengacara majlis, iaitu Azizul dan Faiq. Telah saya kemukakan persoalan ini namun tiada respon daripada pihak modul. Hal ini kerana Seng mengendalikan sesebuah sesi memakan masa yang agak lama.

Majlis penutup diteruskan pada jam 4.00 petang hingga 5.30 petang. Setelah itu, kami mengemas dewan dan bilik gerakan, kemudiannya solat asar dan bergerak pulang ke Universiti Malaya pada jam 7.00 malam.


Fasa Selepas
Mesyuarat ‘post-mortem’ telah dijalankan pada hari Jumaat, 4 Mei 2018. Namun, saya tidak dapat menghadirkan diri di atas urusan keluarga yang tidak dapat dielakkan. Saya telah kemukakan hasil perbincangan daripada ahli-ahli biro publisiti dan teknikal untuk program bahagian biro saya untuk laporan dalam bentuk S.W.O.T, iaitu kekuatan, kekurangan, peluang, dan ancaman.

Saya berasa aktiviti ini dapat dijalankan dengan jayanya, hasil kerjasama daripada para murid dan kecekapan para fasilitator dalam mengendalikan program ini walaupun banyak kesulitan yang telah timbul. Saya rasa amat bersyukur setelah tamatnya program kerana tidak perlu lagi memikirkan mengenai perkara ini selepas ini. Aktiviti yang paling bermakna bagi saya ialah betapa mesra dan proaktif murid-murid dari SBPI Gombak. Kelakuan mereka yang amat baik telah banyak membantu saya dalam menjayakan program ini. Walaupun saya hanyalah bertugas untuk mengambil gambar dan memasang lagu, mereka tetap mahu berinteraksi dan mendengar pandangan saya, khususnya mengenai Fizik sepanjang program ini berlangsung. Dengan segala kekalutan yang timbul, saya amat bersyukur kerana para fasilitator serta murid-murid SBPI Gombak telah memberikan kerjasama yang sangat baik.

Comments