Refleksi Kendiri (Noor Syazana Diyana)


Noor Syazana Diyana binti Noor Ehsan -SIF170029

Fasa perancangan
        Pelajar Tahun 1 Jabatan Fizik, Universiti Malaya telah memutuskan untuk mengambil subjek Jalinan Masyarakat pada semester kedua sesi 17/18. Kami telah membentuk beberapa kumpulan dan kumpulan yang saya sertai diberi nama Alpha. Kumpulan Alpha terdiri daripada 17 orang ahli dan diketuai oleh saudara Tey Lian Seng. Pada perjumpaan yang pertama, beliau telah melantik majlis tertinggi dan unit-unit lain iaitu; unit modul, unit protokol, unit logistik, unit publisiti dan teknikal, serta unit tajaan.

        Sekolah sasaran kami adalah Sekolah Berasrama Penuh Integrasi Gombak seperti yang dicadangkan oleh pensyarah penasihat. Kami diminta untuk menjalankan projek terbaru LearnX iaitu ‘Toying with Physics’ bagi menguji keberkesanannya dan kami bercadang untuk mengadakan program selama dua hari yang diberi nama ‘Fun Physics’ bersama pelajar tingkatan 4 SBPI Gombak. Selain daripada menjalankan projek LearnX, kami juga ingin menarik minat pelajar sekolah untuk turut serta menyambung pelajaran dalam bidang Fizik. Program ‘Fun Physics’ adalah program dua hari yang banyak mendedahkan konsep-konsep Fizik kepada pelajar sekolah melalui modul-modul pembelajaran yang disediakan. Tarikh yang ditetapkan dan dipersetujui oleh pihak sekolah adalah pada 27-29 April 2018 bagi kami menjalankan program ini.

        Sebelum program, beberapa siri mesyuarat telah diadakan bersama ahli-ahli kumpulan bertujuan untuk membincangkan modul-modul yang akan dilakukan dan untuk memperbaiki tarian zumba dan lagu tema UM. Terdapat beberapa masalah dihadapi sehingga seminggu sebelum program dijalankan. Contohnya seperti ‘water rocket launcher’ tidak berfungsi, tentatif tidak tetap sehinggakan unit modul terpaksa membatalkan beberapa modul lain dan sebagainya. Diberi tanggungjawab sebagai Timbalan Pengarah, saya berasa agak tertekan dalam mencari penyelesaian bagi setiap masalah dan risau sekiranya perjalanan program ini tidak seperti yang dirancang.

Fasa Semasa
        Masalah-masalah semasa fasa perancangan dapat diselesaikan sebaik sebelum kami memulakan perjalanan ke SBPI Gombak pada 27 April. Pada hari tersebut, kami berkumpul di Stesen LRT Universiti pada jam 6.30 petang, menaiki LRT sehingga ke Stesen LRT Gombak dan seterusnya mengambil bas dari Stesen LRT ke sekolah tersebut. Kedatangan kami disambut baik oleh pihak sekolah. Penginapan dan makanan juga disediakan lengkap untuk para fasilitator dari UM. Pada malam itu, kami memulakan program dengan sesi pembahagian kumpulan sebanyak 8 kumpulan dan sesi ‘Ice Breaking’ bersama fasi yang bermula pada jam 9 malam dan berakhir pada jam 10.30 malam. Setelah para pelajar dilepaskan untuk berehat, kami terus sambung dengan raptai majlis penutup dan persediaan bahan oleh unit logistik untuk tentatif keesokan hari.

        Pada 28 April, kami memulakan sesi pagi itu dengan senaman ringan dan zumba. Seterusnya, program diteruskan dengan modul 1 dan 2 iaitu modul ‘Flying Cups’ dan ‘Paperplane’. Kedua-duanya merupakan modul singkat yang memakan masa yang singkat. Para fasilitator mengambil markah kumpulan memasing pada setiap modul yang dijalankan dan menilai ahli kumpulan dari segi kerjasama antara kumpulan, kreativiti dan pengetahuan am. Selepas makan pagi, modul 3 iaitu ‘Rubberband Car’ dikendalikan oleh Tey Lian Seng, dimana pelajar diminta untuk mencipta sebuah kereta menggunakan getah, botol mineral dan lidi satey. Ternyata ia bukan satu modul yang mudah kerana hanya terdapat 3 kumpulan yang berjaya menghasilkan kereta yang dapat berfungsi. Pada jam 2.30 petang, explorace diadakan dengan terdapat 9 stesen dan dilihat para pelajar amat bersungguh-sungguh untuk menamatkannya. Pada malam itu, kami menyediakan slot ‘Movie Time’ dengan menayangkan filem ‘The Edge of Tomorrow’ dan slot berakhir pada jam 11 malam.

        Pada hari terakhir iaitu pada 29 April, kami memulakan dengan sesi zumba dan mengadakan pertandingan ‘Water Rocket’ dan ‘Egg Toss’. Kesemua pertandingan tamat pada sebelum waktu makan tengahari. Pada jam 2 petang, kami menjemput pensyarah dari UM untuk memberi perkongsian kepada para pelajar SBPI Gombak. Seterusnya, untuk slot yang terakhir iaitu slot ‘Toying with Physics’ yang dikendalikan oleh saya sendiri, setiap kumpulan diberikan satu jenis permainan dan dikehendaki untuk membincangkan teori-teori Fizik di sebalik permainan tersebut antara ahli kumpulan mereka dan akhir sekali diminta untuk membentangkan idea-idea mereka. Program diakhiri dengan majlis penutup yang dihadiri oleh beberapa VIP wakil UM dan juga wakil SBPI Gombak. Saya berasa amat bebesar hati apabila Prof Dr Hasan sanggup meluangkan masa untuk turut hadir pada majlis itu. Saya berasa sangat lega kerana majlis penutup berjalan dengan lancar dan mengikut tentatif yang disediakan.

Fasa Selepas
        Kami berasa sangat berpuas hati setelah tamatnya program tersebut kerana boleh dikatakan program ‘Fun Physics’ ini berjalan dengan sangat lancar dan diterima baik oleh pelajar-pelajar SBPI Gombak. Kami bukan sahaja dapat belajar pelbagai kemahiran ‘soft skills’ sepanjang waktu penyediaan dari bermulanya perjumpaan yang pertama sehingga ke hari kejadian, kami juga dapat merapatkan lagi hubungan persahabatan antara kami. Kami turut merasakan bahawa titik peluh dan penat lelah kami dalam proses menguruskan program ini amatlah berbaloi dan mengharapkan program ‘Fun Physics’ ini dapat diteruskan dibawah pengurusan Jabatan Fizik, Universiti Malaya.

Comments