Refleksi Kendiri (Natasha Nabila)


NATASHA NABILA BINTI MD HAIDIN
SIF 170024

REFLEKSI PROGRAM “FUN PHYSICS” 2018
           
            Pada 9 Februari 2018, bertempat di Auditorium Fizik, Taklimat Kursus Jalinan Masyarakat telah diberikan oleh Dr Selvi. Beliau telah menerangkan maklumat terperinci berkenaan dengan program jalinan masyarakat ini dan telah meminta setiap kumpulan mempunyai ahli sekurang-kurangnya 15 orang. Visi jalinan masyarakat ini adalah untuk membantu pelajar membina kecerdasan emosi dan kemahiran insaniah bagi melahirkan graduan yang berkualiti. Manakala, misi subjek ini adalah untuk menerapkan sikap bertanggungjawab, keyakinan diri dan hormat kepada masyarakat sekeliling disertakan dengan kemahiran kepimpinan, komunikasi dan kerjasama yang profesional.

            Pada 23 Februari 2018, sebuah perjumpaan bersama dengan ahli-ahli kumpulan Alpha diadakan di Auditorium Fizik. Pemilihan ahli jawatankuasa mengikut biro telah dijalankan. Bidang kerja setiap biro telah dibincangkan dan diperjelaskan. Hasilnya, saya dipilih untuk menganggotai biro protokol bersama dengan tiga ahli yang lain, iaitu Humaira dan Azizul. Biro protokol bertanggungjawab bagi merancang dan memastikan perjalanan program lancar. Selain itu, kami turut bertanggungjawab untuk majlis penutup formal bagi program ini.
      
      Kumpulan kami sebulat suara untuk menjalankan program kami di Sekolah Berasrama Penuh Integrasi Gombak pada 27-29 April 2018. Persediaan aktiviti program kumpulan kami berlangsung selama lebih kurang 9 minggu secara keseluruhan. Pada awalnya, kami merancang untuk mengadakan program ini bersama 50 orang pelajar, tetapi pihak sekolah meminta kami untuk menambah bilangan pelajar kepada lebih kurang 100 orang pelajar ( keseluruhan pelajar Tingkatan 4 SBPI Gombak ). Pada mulanya, kami berasa agak sukar untuk mengendalikan sekumpulan pelajar yang agak besar kerana kami mempunyai ahli seramai 17 orang sahaja.

            Pada 20 April 2018, 6 orang ahli termasuk saya yang terdiri daripada wakil biro protokol, logistik dan teknikal telah mengadakan sebuah lawatan kecil ke SBPI Gombak. Tujuan lawatan ini adalah untuk membuat tinjauan kawasan sekolah dan membincangkan beberapa perkara dengan Pengetua dan guru yang terlibat. Pihak sekolah bersetuju untuk menyediakan tempat tinggal dan makanan sepanjang program yang berlangsung.

JUMAAT, 27 APRIL 2018

Setelah segala persiapan telah dilakukan, kami bertolak ke SBPI Gombak. Sebahagian daripada kami menaiki LRT,manakala sebahagiannya pula menaiki kereta bagi mambawa segala barang-barang keperluan program. Kami bertolak dari Universiti Malaya kira-kira jam 5 petang dan tiba di sekolah tersebut pada jam 8.30 malam. Ketibaan kami disambut gembira oleh Cikgu Syahril. Setelah itu, kami bertemu dengan para pelajar Tingkatan 4 bagi sesi perkenalan antara fasilitator dengan pelajar. Seterusnya, pendaftaran pelajar turut dilakukan bagi mendapatkan bilangan pelajar yang tepat untuk sepanjang program. Malam itu, hanya latihan dalam kumpulan bersama fasilitator dijalankan.

SABTU, 28 APRIL 2018

            Keesokan harinya, pagi bermula dengan aktiviti zumba. Kemudian hari diteruskan lagi dengan slot-slot modul. Dimulakan dengan slot 1 iaitu ‘flying cups’. Pada mulanya, saya berasa gementar. Berbagai-bagai perkara yang terlintas di dalam fikiran. Adakah segalanya akan berjalan dengan lancar? Adakah pelajar-pelajar akan berasa seronok dengan aktiviti-aktiviti yang kami sediakan? Ternyata persoalan tersebut salah.  Para pelajar di sana sangat berasa teruja akan modul-modul yang kami usahakan. Slot ‘paper plane’ dan ‘rubber band cars’ berjalan dengan baik. Pada sebelah petang pula, ‘explorace’ dijalankan. Pada saya, slot ‘explorace’ paling seronok. Melihat gelagat para pelajar mencuba sedaya upaya untuk menyelesaikan setiap tugasan di ‘checkpoint yang ditetapkan. Ketika ini, semangat kerjasama antara ahli kumpulan jelas kelihatan.

            Banyak perkara yang saya belajar daripada mereka sepanjang ‘explorace’ tersebut. Mereka sangat bersungguh-sungguh dan komited. Mereka sangat bersatu, dan tiada sebarang pertelingkahan atau pergaduhan berlaku di kalangan mereka. Dan yang paling penting, mereka seronok. Pada sebelah malam pula, kami menonton filem di dewan. Demikian pengakhiran hari Sabtu.

 
AHAD, 29 APRIL 2018

            Seperti biasa, pagi itu dimulakan dengan aktiviti zumba. Untuk hari Ahad, adalah hari pertandingan antara kumpulan bagi ‘egg toss’ dan ‘water rocket’. Pertandingan ini diambil kira bagi menentukan kumpulan terbaik. Hanya satu kumpulan sahaja berjaya dalam ‘egg toss’. Manakala, bagi ‘water rocket’ hampir keseluruhan kumpulan berjaya.

            Kemudian, majlis penutup berlangsung pada sebelah petang. Semuanya berjalan dengan lancar. Kami semua terutamanya biro protokol berasa sangat bersyukur dan gembira kerana majlis penutup ini berjalan dengan baik. ini merupakan percubaan pertama saya dalam mengendalikan sebuah majlis penutup yang formal. Dari pengalaman ini, saya dapat belajar cara-cara mengendalikan sesebuah majlis formal mengikut protokol yang betul. Selepas tamat majlis, kami berasa sangat sedih untuk kembali semula ke UM. Pelajar-pelajar di sana turut berasa sedih. Mereka semua mahu kami kembali semula ke sekolah mereka pada masa akan datang.

Secara keseluruhannya, banyak yang saya pelajari daripada subjek jalinan masyarakat ini. Bagi saya program ‘Fun Physics’ ini merupakan suatu program yang penuh makna. Objektif program ini yang mahukan kami sebagai pelajar menyumbang kembali kepada masyarakat dapat dicapai. Sebagai rakyat Malaysia, apa yang anda boleh beri kepada masyarakat? Tidak semestinya kita perlukan duit yang banyak untuk membantu orang. Terdapat pelbagai cara untuk kita menyumbang kepada masyarakat. Salah satu cara adalah dengan aktiviti kesukarelewanan. Melalui program ini, kita dapat menerapkan ilmu pendidikan terutamanya subjek fizik dalam kalangan pelajar.

Selain itu, saya dapat belajar bahawa kerjasama dalam kumpulan amat penting dalam menjayakan sesuatu program. Komunikasi yang efektif dan sikap bertanggungjawab dalam diri setiap ahli kumpulan juga penting agar sebarang masalah dalaman dapat dielakkan. Tambahan lagi, impak yang paling ketara, hasil program ‘Fun Pyysics’ ini adalah, hubungan antara pelajar-pelajar Jabatan Fizik bertambah erat. Kami dapat mengenali antara satu sama lain dan menghormati sensitiviti masing-masing.



           


Comments