Refleksi Kendiri (Farah Jasmien)

Farah Jasmien binti Zukari (SIF170012)


Perancangan program Fun Physics kumpulan kami dimulakan dengan pembahagian tugas mengikut biro dan pelantikan majlis tertinggi. Kemudian, cadangan eksperimen untuk dimasukkan ke dalam modul diberikan oleh ahli kumpulan kami. Pemilihan modul kami berjalan dengan lancar pada awalnya. Namun begitu, apabila barang-barang untuk modul telah dibeli, salah satu eksperimen dalam modul kami terpaksa dibatalkan kerana kelancaran untuk melakukan eksperimen tersebut diragui. Pembatalan eksperimen tersebut agak merisaukan saya kerana sebagai bendahari, saya bimbang jika berlaku ketidakcukupan wang pada masa akan datang. Oleh yang demikian, ahli-ahli daripada unit modul telah memikirkan cara untuk menggunakan barang yang telah dibeli untuk eksperimen yang telah dibatalkan sebelum supaya tiada pembaziran berlaku. Kumpulan kami telah memilih beberapa hari untuk mencuba eksperimen-eksperimen dalam modul supaya kami dapat mengenal pasti masalah-masalah yang akan berlaku semasa hari kejadian. Kami juga mengadakan raptai penuh untuk majlis penutup program Fun Physics pada hari terakhir perjumpaan kami.

Kumpulan kami bertolak ke Sekolah Berasrama Penuh Integrasi Gombak (Integomb) pada hari Jumaat, 27 April 2018. Kami bertolak awal sehari untuk menguruskan pendaftaran pelajar bagi program ini pada malam tersebut kerana kami berpendapat jika pendaftaran dilakukan pada pagi Sabtu 28 April, masa untuk kami menjalankan program akan menjadi singkat. Ketibaan kami ke Integomb sedikit lewat dari masa yang dijangka kerana terdapat ahli yang lewat sampai ke stesen LRT iaitu tempat yang kami janji untuk berkumpul. Tambahan pula, bas yang perlu kami naiki untuk ke sekolah tersebut tiba agak lewat. Oleh yang demikian, setibanya kami ke sekolah tersebut, kami terus memulakan pendaftaran pelajar. Aktiviti-aktiviti yang dijalankan sepanjang dua hari kami berada di Integomb berjalan dengan lancar. Walaupun terdapat kekurangan peralatan seperti pita pelekat, ahli kami daripada unit logistik pantas bertindak dengan keluar untuk membeli barangan tersebut. Kami telah menyediakan skor permarkahan untuk mengadili kumpulan yang terbaik. Oleh kerana pandangan bagi setiap orang berlainan dalam memberi markah, terdapat pertikaian antara ahli kami. Namun, hal ini dapat diselesaikan dengan perbincangan sesama kami. Majlis penutup kami berjalan dengan lancar dan diakhiri dengan tayangan multimedia yang dihasilkan oleh unit publisiti dan teknikal.

Setelah melaksanakan program Fun Physics ini, saya memperoleh pengalaman untuk menjalankan sesuatu program daripada awal perancangan sehinggalah pelaksanaan program. Melalui program ini juga saya mengetahui susah senang untuk mengendalikan sesuatu program dan majlis dan berurusan dengan sesuatu pihak. Walaupun terdapat beberapa masalah yang timbul semasa peringkat persediaan dan pelaksanaan program, ahli kumpulan kami dapat mengatasi masalah-masalah tersebut dengan cara berbincang. Saya bersyukur dapat bekerja dengan mereka kerana segala tugasan yang telah ditetapkan, mereka dapat melaksanakannya dengan baik. Walaupun kami semua daripada kursus yang sama, ada diantara kami yang tidak mengenali antara satu sama lain. Kursus Jalinan Masyarakat ini telah membantu kami untuk saling mengenali sesama kami dan mengajar kami untuk bersabar apabila bekerja dengan orang lain. Akhir kata, pengalaman pahit dan manis semasa menjalankan program ini telah memberi pengajaran dan makna kepada saya. Semoga pengalaman ini dapat memberi saya inspirasi untuk berbakti kepada masyarakat dan seterusnya membantu saya memperbaiki diri ke arah yang lebih baik.                                  

Comments