Refleksi Kendiri (Muhammad Ammar Safuan)


Refleksi Program Physics Fun Social Engagement 2018
Muhammad Ammar Safuan bin Azman (SIF170021)

            Setelah berakhirnya program Physics Fun dari kumpulan Alpha, saya merasakan telah banyak pelajari sesuatu daripada aktiviti ini. Apa yang saya rasakan adalah program ini bukanlah semata-mata ingin lulus dalam kursus Social Engagement, malahan ia sebenarnya membawa objektif program itu sendiri iaitu menanam minat pelajar terhadap Sains dengan menyuburkan sikap ingin tahu dalam diri mereka dan berfikiran kritis. Sains adalah masa depan negara. Dan para pelajar adala aset yang memegang tali harapan ini. Maka amatlah kami berbangga kerana, kami sebagai fasilitator sedang membentuk aset-aset negara ini, yang mana mungkin mereka suatu hari nanti adalah saintis, jurutera, doktor dan lain-lain pekerjaan lagi yang sama-sama membantu meningkatkan kualiti kehidupan manusia, yang tidak terkepung dalam negaranya sendiri malahan ke seantero dunia.

            Selain itu, daripada perspektif saya, ini adalah sebuah platform untuk menambah keyakinan diri dan juga cara berkomunikasi dengan efisien. Dengan memegang sebuah kumpulan pelajar, amatlah penting untuk melihat adakah mereka mendengar arahan yang saya akan sampaikan dengan sempurna. Jika sesuatu arahan itu dapat diterima dengan baik, mereka semestinya dapat melakukan tugasan dengan sempurna. Jika mereka tidak dapat memenuhi arahan yang telah diberikan, berkemungkinan terdapat masalah komunikasi di antara dua belah pihak.

            Seterusnya, peranan saya sebagai role model dalam menjadi inspirasi pelajar untuk terus bangkit dan maju serta tidak gentar untuk berhadapan dengan kegagalan. Ini kerana, bagi saya kecemerlangan tidak dinafikan menjadi sasaran dalam setiap diri seorang pelajar. Tetapi hakikatnya, kegagalanlah yang melihat mereka samada mereka ini seorang yang tabah dan kuat atau tidak dalam menghadapi segala mehnah dan cabaran yang akan mereka lalui pada masa akan datang. Saya terus menerus memberi kata rangsangan dan semangat kepada setiap seorang ahli kumpulan saya supaya mereka terus menerus kuat dalam menghadapi kehidupan yang penuh onak dan duri.

            Dalam masa yang sama, saya juga dapat mengetahui apakah masalah yang mereka telah alami dalam masa proses pembelajaran di sekolah dan dalam kelas. Saya cuba mendalami sedikit sebanyak masalah mereka dan memberikan jalan alternatif penyelesaian dalam bentuk nasihat dan lain-lain lagi. Saya juga memahami situasi mereka yang baru sahaja melangkah ke tingkatan 4, dimana pada saat ini mereka dalam zon untuk menyesuaikan diri dengan subjek Sains yang lebih spesifik dan sukar.

            Akhir sekali, saya amatlah bersyukur kerana mempunyai ahli kumpulan yang sangat komited dan memberikan kerjasama yang sangat tinggi dalam menjayakan program ini. Saya juga berbesar hati mengucapkan ribuan terima kasih kepada para pensyarah yang sama-sama bersama pelajar dalam melaksanakan program ini. Semoga apa yang kita telah lalui akan memberikan manfaat kepada semua pihak demi membentuk masa depan yang cerah dan berjaya.
Sekian, terima kasih.

Comments