REFLEKSI: ANIS ZULAIKHA BINTI
RIDZUWAN (SIF170007)
1.
FASA PERSEDIAAN
Perjumpaan pertama diadakan untuk melantik ahli
jawatankuasa tertinggi dan beberapa unit seperti unit protokol, tajaan, modul
dan sebagainya. Saya telah memilih untuk
memasuki unit modul kerana saya rasa saya suka untuk membuat pencarian dan
penyelidikan untuk menghasilkan aktiviti-aktiviti untuk projek ini dan dalam
masa yang sama saya boleh belajar tentang beberapa teori dalam Fizik. Saya nampak bahawa apabila ramai yang
terlibat dalam menjana idea untuk aktiviti, hasil yang kami dapat amatlah
memuaskan.
Selain itu, ada juga ahli kumpulan yang dibahagikan
mengikut kemahiran mereka. Sebagai
contoh, unit protokol. Ahli-ahli di
dalam unit protokol adalah ahli yang berpengalaman dalam pengurusan
majlis. Saya dapat belajar melalui
melihat bagaimana mereka merancang waktu untuk program berlangsung dan sedar
bahawa menjalankan sesebuah program tidaklah hanya dengan merancang isi
aktiviti sahaja. Unit tajaan, logistik,
modul dan bendahari telah bekerjasama dalam menyediakan bahan yang diperlukan
oleh unit modul. Hal ini menunjukkan
bahawa pelbagai unit mesti terlibat untuk memudahkan kerja.
Cabaran yang saya hadapi adalah kesukaran dalam mencari
aktiviti yang menarik untuk pelajar-pelajar sekolah itu. Saya rasa saya tidak begitu menyumbang kepada
unit modul tetapi saya ada menyumbang dalam membuat pencarian teori Fizik
disebalik permainan dan juga beberapa idea acara untuk permainan explorace.
Antaranya, acara membawa bola pingpong menggunakan penyepit makanan
(chopstick) dan membawa cawan menggunakan
belon tanpa bantuan tangan. Saya kagum
dengan rakan seunit dan sekumpulan yang lain kerana saya rasa mereka amat bijak
dalam membina sesuatu benda dengan baik.
Contohnya, pelancar roket air, rubber
band car, dan platform untuk modul egg
toss. Kami amat gembira ketika
menjalankan ujian untuk modul-modul kami kerana kami berjaya untuk menjatuhkan
telur tanpa pecah dan melancarkan roket air menggunakan launcher yang dihasilkan oleh rakan sekumpulan kami sendiri.
Bermula daripada fasa persediaan ini juga, saya yakin
setiap rakan sekumpulan saya mempunyai kebolehan yang tersendiri seperti
berurusan dengan organisasi luar, mengetuai kumpulan dalam melaksanakan tugas
dan juga bijak dalam pelajaran.
2.
FASA SEMASA
Berdasarkan perancangan, kami perlu bertolak daripada LRT
Universiti pada pukul 6.30 petang 27 April 2018. Namun begitu, kami telah bertolak lewat ke
Gombak kerana masalah kesesakan lalu lintas yang kami hadapi ketika dalam
perjalanan dari kolej kediaman ke stesen LRT.
Kami tiba di stesen LRT Gombak pada waktu maghrib. Malangnya, ruang solat di stesen di situ
amatlah kecil untuk kami yang ramai ini.
Tambahan pula, kami perlu beratur untuk menggunakan tandas. Saya berasa sangat terkilan kerana terpaksa
meninggalkan solat maghrib kerana hal tersebut dan masa yang suntuk kerana kami
perlu menaiki bas dan tiba di SBPI Gombak sebelum pukul 9 malam. Saya benar-benar berharap agar hal waktu dan
tempat untuk solat di ambil berat juga ketika merancang untuk sebuah perjalanan
keluar supaya kami tidak akan meninggalkan solat lagi.
Pada malam itu, setelah kami bersuai kenal dengan
pelajar-pelajar Tingkata 4 SBPI Gombak, kami mula untuk menjalankan raptai
untuk majlis penutup program kami setelah murid-murid dibenarkan pulang ke
asrama mereka pada pukul 11 malam.
Seorang ahli daripada unit protokol telah ditetapkan untuk menjadi
pengacara majlis penutup formal itu.
Saya rasa perkara ini normal apabila anda juga mahu bercakap menggunakan
mikrofon dan saya juga teringin bercakap menggunakan mikrofon. Pada ketika itu, saya memohon untuk mencuba
bercakap menggunakan mikrofon daripada rakan saya itu dan saya membaca teks
yang disediakan untuk pengacara majlis.
Saya terkejut apabila rakan-rakan yang berdekatan saya ketika itu memuji
suara saya bercakap dan meminta agar saya menjadi pengacara majlis formal untuk
majlis penutup. Padahal, saya tidak
pernah mengacarakan majlis formal seperti ini kecuali majlis perhimpunan pagi
di sekolah menengah tetapi itupun kerana permintaan rakan saya secara mengejut sebaik
sahaja saya tiba di sekolah. Hal ini
mengingatkan saya apabila pensyarah Bahasa Inggeris saya bertanya sama ada saya
pernah mengacarakan majlis atau tidak dan berkata bahawa saya mempunyai suara yang
bagus. Melalui peristiwa ini, saya sedar
bahawa bakat seseorang tidak semestinya diketahui oleh diri orang itu sendiri
tetapi mungkin dikenal pasti oleh orang lain.
Memandangkan ini adalah pertama kali saya menjadi pengacara majlis untuk
majlis seperti ini, masih banyak yang saya perlu belajar seperti
tindakan-tindakan yang perlu diambil apabila berhadapan dengan sebarang
perubahan ketika majlis berlangsung.
Pelbagai aktiviti telah dijalankan dan saya seronok dapat
melihat murid-murid menyukai aktiviti-aktiviti yang kami sediakan. Saya dapat melihat beberapa orang pelajar
yang dapat menjalani aktiviti dengan baik sekali. Dalam slot modul Rubber Band Car, kami telah memberikan beberapa helai kertas yang
menunjukkan langkah-langkah untuk membina kereta tersebut. Saya memerhatikan mereka dan saya dapati ada
yang membaca manual itu terlebih dahulu secara keseluruhan dan seterusnya baru
mula membina mengikut langkah yang ditunjukkan satu per satu. Pada pendapat saya, sikap itu adalah sangat
baik kerana ketika hendak menjalankan sebuah eksperimen, kita mestilah memahami
keseluruhan jalan kerja dalam eksperimen tersebut terlebih dahulu.
3.
FASA SELEPAS
Kami telah menyediakan borang soal selidik untuk para
pelajar dan pelajar juga diberi peluang untuk menulis surat kepada para
fasilitator. Melalui cara-cara ini kami
boleh membuat posmortem untuk projek kami.
Saya dapati bahawa ramai daripada kalangan pelajar
menyukai program ini dan ada juga meminta agar program ini diadakan lagi di
sekolah mereka dengan tempoh masa yang lebih panjang. Saya berasa amat bersyukur juga kerana ada
yang berkata kami berjaya membuat mereka berminat dengan Fizik.
Walaupun begitu, ada juga pelajar yang memberi komen
seperti kami perlu merancang program dengan lebih baik supaya ianya tidak
membosankan dan membuang masa dan ada juga yang menulis “Let us rest plz..”. Oleh
kerana itu, sekiranya kami membuat proram seperti ini lagi, kami mesti bertanya
kepada para pelajar di hujung setiap aktiviti yang dijalankan samada mereka
suka atau tidak agar kami boleh mengetahui di manakah terletaknya kelemahan
dalam program kami pada masa akan datang.
Akhir
kata, melalui projek ini,
saya dapat belajar bagaimana untuk mengadakan dan mengurus sebuah projek
melalui pelbagai aspek. Saya dapat belajar
bagaimana untuk menyediakan kertas kerja, menjadi seorang pengacara majlis,
protokol majlis serta berurusan dan berkomunikasi dengan organisasi-organisasi
tertentu. Perkara yang paling penting
saya pelajari adalah, pujian bukanlah sesuatu yang membuatkan kita mempelajari
sesuatu tetapi komen yang kurang memuaskanlah yang akan membantu kita untuk
menambah baik kerja-kerja kita dan secara tidak langsung kita akan mempelajari
perkara yang baharu dalam proses itu.
Comments
Post a Comment