REFLEKSI PROGRAM FUN PHYSICS
Oleh:
Azizul Hakem
“Jalinan Masyarakat? Apa tu?”
Itulah yang terlintas dalam fikiran saya setelah mendaftar subjek ini. Apa yang
dapat saya rasakan adalah subjek ini amat menyusahkan. Jadi, pada satu hari Jumaat
itu, saya dan rakan-rakan saya, pelajar Tahun Satu Ijazah Sarjana Muda Sains
Fizik, telah dipecahkan kepada beberapa kumpulan. Jadi, saya pun berjumpalah
dengan bakal rakan sekerja saya dalam subjek ini. Dan kebanyakan daripada
mereka saya agak kurang kenali kerana tidak pernah berinteraksi sesama sendiri.
Tapi saya terapkan fikiran bahawa bekerja dengan orang baharu akan membawa
dimensi baharu kepada saya.
Jadi setelah mendengar pelan
bagaimanakah jalinan masyarakat bakal dijalankan, saya dapat merasakan bahawa
pelannya hampir sama dengan projek saya di kolej iaitu 1EduMas. Ia adalah suatu
program di mana mahasiswa dari Universiti Malaya akan berkongsi pengalaman
mereka. Tapi untuk projek kali ini adalah berkaitan dengan perkongsian kami
dalam bidang fizik. Jadi setelah delegasi kerja dibahagikan, saya diletakkan
dalam bidang protokol. Bagi saya, ini adalah suatu pengalaman baharu kerana
saya jarang diletakkan dalam bidang protokol. Jadi saya rasa ini adalah peluang
terbaik saya untuk belajar sesuatu yang baharu daripada program ini. Jadi
tugasan kami adalah untuk menguruskan hal-hal yang berkaitan protokol seperti
pergerakan program, tentatif, masa dan juga majlis perasmian penutupan.
Kemudian gerak kerja kami pun dimulakan.
Unit-unit lain pun sedang memulakan gerak kerja masing-masing. Saya bangga
dengan semangat mereka semua dalam menjalankan tanggungjawab masing-masing.
Sejujurnya saya berasa takut kerana komitmen saya dengan projek kolej saya. Ini
kerana saya perlu ada untuk menyelesaikan program kami di Sabah dan juga Johor.
Oleh itu saya tidak dapat menumpukan perhatian yang sepenuhnya kepada kerja
saya bagi program ini. Saya bersyukur kerana rakan-rakan seunit saya, Humaira
dan juga Shabila telah membantu untuk mengisi kelopongan kerja yang disebabkan
oleh saya. Akhirnya, setelah projek 1Edumas saya tamat dengan jayanya, saya
dapat menumpukan perhatian yang sepenuhnya kepada program ini. Dan saya telah
ditugaskan untuk menjadi pengacara majlis untuk program bersama Faiq dan juga
menjadi pengacara majlis bagi majlis perasmian penutupan nanti. Saya pun telah
membuat teks bagi pengacara majlis untuk penutupan nanti. Dan saya rasa memang
banyak kesilapan dalam teks tersebut.
Kami juga telah melakukan persediaan
yang rapi sebelum program berlangsung, jadi hari sebelum kami bertolak, kami
dapat merasakan semangat yang berkobar-kobar untuk menjayakan program ini. Jadi
telah tiba hari yang dinantikan, hari kami akan bertolak ke SBPI Gombak. Jadi
kami bertolak dari UM pada petang hari menaiki LRT untuk ke Gombak, dan menaiki
bas Smart Selangor untuk ke destinasi. Walaupun berlaku sedikit kelewatan dari
pihak kami, tapi kami berjaya sampai di sekolah pada masa yang tepat. Dan kami
membuat persiapan sebelum program dimulakan. Saya sebagai pengacara majlis
berasa sedikit berdebar, walaupun saya selalu menjadi pengacara majlis untuk
program seperti ini. Jadi saya mulakan program dengan sesi Ice Breaking, tapi sebelum itu kami membuat sesi suai kenal
daripada fasilitator, rakan rakan fasilitator saya berjaya melakukannya dengan
baik sekali. Jadi sesi Ice Breaking pun
bermula. Saya dan Faiq membahagikan mereka kepada beberapa kumpulan. Selepas
kami meminta fasilitator untuk masuk ke dalam kumpulan masing-masing. Setelah
selesai, mereka semua pun dibenarkan untuk pulang ke asrama masing-masing.
Selepas itu kami pun melakukan sedikit simulasi untuk majlis penutupan nanti.
Jadi bermula hari kedua, kami
bangun seawal 5.30 pagi. Jadi aktiviti kami dimulakan dengan zumba. Selepas itu
kami mulakan dengan modul pertama iaitu Flying
Cup. Mereka diminta untuk membuat cawan itu boleh terbang seketika di
udara. Kemudian Rubber band car menjadi
modul mereka yang seterusnya sebelum mereka berhenti rehat untuk makan tengahari.
Selepas itu aktiviti mereka yang seterusnya adalah Explorace. Mereka perlu melepasi beberapa cabaran sebelum sampai ke
garis penamat. Selepas itu kami adakan sesi LDK bertujuan mengeratkan lagi
ikatan antara fasilitator dan pelajar. Pada asalnya saya sebagai pengacara
majlis tiadak mendapat kumpulan. Tetapi disebabkan satu peristiwa yang tidak
perlu diceritakan di sini, saya telah mendapat “kumpulan angkat”. Layanan yang
saya dapat adalah seperti fasilitator mereka sendiri. Kemudian pada waktu malam
mereka disajikan dengan filem Inggeris sebagai aktiviti santai pada waktu
malam. Selepas itu mereka dibenarkan pulang ke asrama untuk berehat.
Pada keesokan harinya, aktiviti
pagi dimulakan dengan zumba juga, kemudian kami pergi ke modul seterusnya iaitu
Egg Toss. Bagi saya ini antara modul
yang berjaya kerana ada kumpulan berjaya untuk mencampak telur dari tingkat 3
tanpa telur itu pecah. Seterus aktiviti roket air. Berbekalkan bahan yang
mereka peroleh semasa Explorace semalam,
mereka perlu menyiapkan roket air kerana mereka akan melancarkan roket
tersebut. Selepas itu merekan berhenti rehat. Selepas itu ada sesi perkongsian
khas daripada pensyarah kami iaitu Dr Woo, pensyarah kami yang mengajar Fizik
Terma. Satu sesi perkongsian yang amat menarik daripada beliau. Selepas tamat
sesi perkongsian tersebut, telah diadakan sesi Toying With Physics yang dikendalikan oleh Saudari Syazana dan
Saudara Seng, pengarah projek kami. Semasa sesi ini kami sedang mengira markah
untuk mencari kumpulan terbaik dan pelajar terbaik. Selepas itu diadakan majlis
perasmian penutupan. Program ini secara rasminya ditutup oleh penolong kanan
Hal Ehwal Murid SBPI Gombak. Selepas tamat majlis dan perarakan keluar para
tetamu, kami telah adakan sesi fotografi dan sesi sesi terakhir antara
fasilitator dan juga pelajar. Saya sebagai fasilitator angkat kumpulan saya
berasa terharu kerana mendapat banyak kad daripada adik adik dari kumpulan
saya. Selepas itu kami dengan berat hatinya terpaksa meninggalkan adik adik
kami di SBPI Gombak.
Apa yang saya dapat daripada
program ini semangat berpasukan yang ditonjolkan oleh rakan sepasukan kami.
Saya juga dapat belajar skil berkomunikasi bersama pelajar sekolah, kerana kita
perlu menggunakan pendekatan yang berbeza kerana kita berada di peringkat yang
sedikit berbeza daripada mereka. Kesimpulannya, saya amat berpuas hati dengan
kerjasama dari rakan rakan saya dan juga adik adik dari SBPI Gombak. Saya
berharap ukhuwah yang kami bina di sini akan berkekalan.
Comments
Post a Comment